Saturday, December 02, 2006

SUTRAH




SUTRAH : Satu sunnah yang sering diabaikan...

Definisi: Sutrah ialah penghadang atau sempadan di hadapan orang yang solat. Jenis-jenis sutrah adalah seperti dinding, tombak, kain tabir, manusia atau apa-apa barang yang cukup tinggi untuk dijadikan sempadan.

Masalah: Ramai di antara kita yang memandang remeh hal ini beralasan ianya cuma sunat, sebaliknya ianya sangat diberi penekanan oleh Rasulullah.

Ada yang solat di tengah masjid atau surau tanpa sutrah, dan ini menyusahkan orang yang faham tentang larangan lalu di hadapan orang yang solat, sepertimana yang disebut oleh Rasulullah,
“Seandainya orang yang lalu di hadapan orang yang sedang solat tahu apa hukumnya, nescaya dia akan sanggup menunggu empat puluh kali lebih lama” (Bukhari, Muslim)

Sebagai dalil disyariatkan untuk menggunakan sutrah, berikut adalah jenis-jenis sutrah yang pernah digunakan oleh Rasulullah:

Solat menghadap dinding. (Bukhari, 2/212)
Solat menghadap tombak. (Muslim, 4/218)
Solat menghadap Al-Hirbah, sejenis besi setinggi kepala. (Muslim, 4/218)
Solat menghadap tongkat. (Bukhari 1/575)
Solat menghadap kenderaan unta (Ibnu Abi Syaibah, 1/383)
Solat menghadap pokok. (An-Nasai dan Tuhfatul Asyraf)
Solat menghadap tempat tidur A’isyah. (Bukhari, 1/581)

Rasulullah bersabda, “Janganlah solat kecuali menghadap ke sutrah dan janganlah biarkan seseorang lalu di hadapanmu. Jika ia enggan maka cegahlah (dengan tangan), dan tahanlah dengan keras kerana sesungguhnya dia bersama Al-Qarin (Jin)”, (Muslim, 2/268, Ibnu Khuzaimah, 2/9)

Rasulullah berdiri berhampiran sutrah sehingga jarak antaranya dan sutrah ialah 3 hasta. Apabila baginda sujud, jarak antara kepala dan sutrah ialah jarak yang boleh dilalui oleh seekor kambing. (Bukhari, 1/574 Muslim, 4/225)


Dalam hadith lain, “Apabila seorang dari kamu solat menghadap sutrah, maka hendaklah dia mendekat sehingga syaitan tidak dapat memutus solatnya” (Ibnu Abi Syaibah 1/279, Ahmad 4/2, Abu Daud 1/111)

Dari A’isyah, nabi pernah ditanya ketika perang Tabuk, tentang sutrah dan beliau menjawab, seperti tinggi pelana unta. (Muslim 4/216, 217)

Rasul bersabda, “Apabila salah seorang di antara kamu meletakkan di antara dia (sesuatu) setinggi pelana unta, maka hendaklah dia solat dan jangan menghiraukan sesiapapun yang lalu di hadapan sutrah itu.” (Muslim 4/216)

Umar berkata, “ Orang yang solat lebih berhak berada di sebalik tiang-tiang masjid berbanding daripada orang mahu bercakap-cakap.” (Bukhari)

Umar pernah melihat seorang lelaki solat di antara 2 tiang, lalu beliau menariknya ke salah satu tiang dan berkata, “Solatlah menghadap ke sini.” (Bukhari)

Demikianlah dalil-dalil dari hadith nabi dan athar sahabat tentang pentingnya menyediakan sutrah sebelum memulakan solat. Sutrah Imam adalah dikira sebagai sutrah para makmum, oleh itu jika ada keperluan ahli jemaah boleh lalu di antara saf.

Justeru itu, adalah menjadi satu sunnah yang dituntut untuk seseorang yang mahu solat untuk mara kehadapan dinding masjid atau tiangnya sebelum mahu solat sunat. Elakkanlah solat di tengah masjid tanpa sutrah kerana ini menyalahi sunnah Rasulullah. Kita juga boleh menjadikan orang lain yang sedang duduk atau solat, sebagai sutrah.

Sila kaji dan perbincangkan isi risalah ini, dan andaikata ia bermanfaat, sebarkanlah sebagai satu usaha kecil kita dalam islah.