Thursday, January 11, 2007

KHALWAT...

Berikut adalah pengalaman peribadi saya yang ada kaitan dengan isu baru-baru ini yang berpunca dari kenyataan Mufti Perlis yang mahu prosedur kerja berkenaan khalwat dikaji dan diperbaiki.....
Isu prosedur kerja Jabatan Agama Islam berkenaan kes khalwat.

Sebagai pembaca saya mengikuti perbincangan dan kenyataan-kenyataan berhubung perkara ini. Tanpa mengurangkan rasa hormat, apatah lagi menidakkan keikhlasan pegawai penguatkuasa, saya bersetuju dengan saranan supaya prosedur kerja tersebut dikaji semula. Alasan pihak berkenaan bahawa serbuan atau pemeriksaan di premis-premis tertentu adalah atas aduan atau laporan sahaja, sangat tidak berasas, kerana saya sendiri telah menjadi mangsa prosedur kerja yang tidak beretika dan tidak mengikut landasan syara’ ini. Sebagai seorang pelajar tahun akhir perubatan yang sudah berkahwin dan tinggal berasingan dengan isteri, kami menggunakan perkhidmatan hotel pada hujung minggu apabila ada kesempatan bertemu. Malangnya, kami selalu dikejutkan oleh ketukan pintu bilik, biasanya pukul 2 pagi ke atas. Ada waktunya, pintu diketuk dengan begitu kuat dengan suara yang keras, memaksa saya bergegas bangun tidur, memastikan aurat isteri terjaga, dan meluru ke pintu kerana bimbang pintu dibuka secara paksa. Dan yang mengecewakan ialah, perkara yang serupa berlaku kepada kami 3 kali, di 3 negeri berasingan dalam masa setahun. Mana mungkin pemeriksaan dilakukan atas aduan?. Untuk memudahkan kerja pihak Jabatan Agama, saya cadangkan semua hotel diwajibkan meminta salinan sijil nikah untuk pasangan yang mahu menginap. Saya sangat berharap agar perkara ini mendapat perhatian pihak berwajib.
Kesimpulan SAYA SENDIRI: Jabatan agama (penguatkuasa) melakukan pemeriksaan secara random (rawak) dan BUKANNYA atas aduan semata-mata.

Dr. Jefri Irwan bin Harris
Changkat Lada, Perak
jefriharris.blogspot.com
jefriharris@yahoo.com.my

0 comments: